Skip to main content

BMM 1024- KEBUDAYAAN MELAYU

KONSEP BUDAYA MELAYU




Image result for budaya


Takrif Budaya 

 Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM (2007), budaya merupakan kemajuan jasmani dan rohani manusia serta kemajuan fikirannya menerusi latihan dan pengalaman serta peradaban. Menurut Sir Edward Tylor (1958), budaya pula merupakan keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang serta adat dan struktur sosial. Budaya boleh ditafsirkan sebagai keseluruhan gaya hidup manusia yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir ke arah meningkatkan akal fikiran bagi menangani sesuatu permasalahan.


Dalam buku Kebudayaan Melayu telah mencatatkan bahawa budaya merujuk kepada proses perkembangan kelakuan, akal, semangat, dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Secara harfiah, budaya Melayu sering dikaitkan dengan istilah budi dan daya. “Budi” merujuk kepada aspek dalaman orang Melayu yang meliputi akal dan nilai, manakala “daya” sebagai aspek lahiriah orang Melayu yang meliputi usaha dan hasilan. Selain itu, perkataan budaya Melayu juga dapat merujuk kepada gabungan bu dan daya. “Bu” bermaksud asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna bahkan dimuliakan. “Daya” pula membawa maksud akal, jalan atau fikiran. 

Perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya'. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan Melayu Polynesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Cantuman kedua-dua perkataan tersebut budaya pula membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa. 

Kebudayaan dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai culture, iaitu berasal dari perkataan Latin cultura. Perkataan culture diterjemahkan dengan maksud budaya, dan kebudayaan pula ialah terjemahan daripada cultural. Dalam bahasa Mandarin, budaya disebut Wen Hua dan dalam bahasa Arab disebut Thaqafah. Melayu dikaitkan bahawa merupakan keseluruhan sistem hidup orang Melayu yang kompleks, terkandung di dalamnya unsur-unsur moral, pengetahuan, kepercayaan, dan peraturan. 

Menurut pendapat  Edward B. Tylor (1871), budaya ialah suatu keseluruhan sistem yang kompleks, yang dalamnya terkandung unsur-unsur ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat istiadat dan kemahiran-kemahiran lain yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Taib Osman (1988) pula mendefinisikan kebudayaan kepada cara mengatur hidup satu-satu kelompok manusia. Lebih penting daripada perbuatan hari-hari seperti cara makan, cara beribadah, cara mengatur seseorang dan ciri-ciri lain, iaitu tanggapan alam sekitar dan nilai-nilai sosial atau etos kerana kedua-dua ciri inilah yang mewarnakan sesuatu budaya dan menjadi pendorong bagi tindakan manusia.




Jenis Budaya

Abdul Latif Abu Bakar (1987) membahagikan budaya kepada dua bentuk, iaitu budaya material dan budaya bukan material. Maksud budaya material diterjemahkan sebagai objek fizikal, artifak dan benda. Namun, para sarjana berpendapat bahawa budaya material adalah objek yang diperbuat dan digunakan oleh manusia. Menurut Lavenda & Schultz (2010), budaya material digunakan sebagai bukti fizikal untuk memahami latar belakang manusia dan aktiviti-aktiviti kebudayaan.  

Budaya material diterima sebagai suatu petunjuk dari tingkat perkembangan sosial dan budaya masyarakat tertentu, dan menunjukkan evolusi masyarakat dari bentuk-bentuk sederhana menjadi kompleks. Misalnya, budaya material meliputi peralatan kehidupan seperti pakaian, perumahan, senjata, alat-alat muzik dan sebagainya. Pakaian tradisional masyarakat Melayu juga merupakan salah satu contoh budaya material, yang telah mula dipakai sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun, ciri-ciri keasliannya masih dikekalkan sehingga hari ini. Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pakaian baju kurung asal  ialah dalam keadaan ketat dan singkat, berbeza daripada baju kurung sekarang yang longgar dan labuh. Hal ini kerana Tun Hassan Temenggung telah melabuhkan baju Melayu serta membesarkan dan memanjangkan pangkal tangan baju

Menurut Siti Zainon (2006), baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Baju wanita bersifat pola panjang, pola pendek pula untuk baju lelaki. Selepas kedatangan Islam, kurung didapati menepati dengan konsep cara Melayu yang mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Selain daripada baju kurung,  jenis kurung lain yang mendapat inspirasi daripada baju kurung seperti Kurung Pahang, Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang dan Kurung Teluk Belanga. Budaya bukan material pula ialah unsur yang tidak wujud secara fizikal. Adat istiadat, kepercayaan dan undang-undang merupakan contoh budaya bukan material. Contohnya, masyarakat Melayu mempunyai adat istiadat yang berbeza-beza dalam perkahwinan seperti adat meminang, berandam dan berasah gigi, dan mandi berhias.

Ciri-ciri Budaya

Budaya yang menjadi amalan masyarakatnya melambangkan keperibadian, identit, dan jati diri masyarakat tersebut. Sikap, amalan, dan penerimaan masyarakat terhadap budayanya dapat menjelaskan budaya masyarakat tersebut. Antara ciri budaya masyarakat adalah seperti yang berikut:

Image result for ciri-ciri budaya melayu



a) Bersifat dinamik

Menurut Wan Abdul Kadir Wan Yusof, (1983), budaya bersifat dinamik iaitu berubah dari semasa ke semasa dan perubahan ini berlaku dalam bentuk persambungan. Sebagai contoh, budaya Melayu telah banyak mengalami perubahan setelah Islam mula bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7 masihi. Penyesuaian dan tokok tambah berlaku dalam proses penerimaan agama Islam seterusnya membentuk kepelbagaian budaya yang bersesuaian dengan agama Islam. 

Di samping itu, kebudayaan juga merupakan tatacara hidup manusia yang mengasilkan satu bentuk kepercayaan, keyakinan, adat, upacara-upacara, ikatan perkahwinan dan sebagainya. Perpaduan antara kedua-dua masyarakat yang belainan agama turut memberi impak terhadap kebudayaan yang telah ada dan lahirlah suatu kebudayaan baru. Contohnya, agama Islam telah mengubah amalan berpakain masyarakat Melayu. Dulunya, masyarakat Melayu tidak mementingkan amalan pemakaian yang menutup aurat, namun setelah kedatangan Islam, masyarakat Melayu mula berpakaian menutup aurat kerana dalam ajaran Islam tidak menutup aurat dianggap satu dosa. 

b) Diwarisi

Meskipun zaman berubah dari semasa ke semasa, adat dan budaya masih tetap diwarisi dan dipegang oleh masyarakat. Bagi masyarakat Melayu, adat resam begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Setiap majlis perkahwinan yang dilakukan secara penuh adat menggangap pasangan pengantin sebagai raja sehari oleh kebanyakan masyarakat Melayu lantaran tertib dan teraturnya pengurusan proses perkahwinan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat istiadat perkahwinan boleh dibahagikan kepada beberapa proses, seperti merisik atau meninjau, upacara perminangan, upacara menghantar tanda, hantaran belanja dan sebagainya.  Contohnya, adat meminang merupakan salah satu adat perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diwarisi sejak beratus tahun yang lalu.

 Perkataan meminang yang bermaksud pertanyaan untuk berkahwin berasal daripada perkataan buah pinang. Adat meminang dimulakan dengan pihak lelaki yang menyampaikan pertanyaan kepada pihak perempuan. Biasanya, Ibu bapa lelaki akan mengutuskan wakil untuk mewakili mereka meminang anak gadis yang telah dipilih. Ibu bapa anak gadis akan diberi tempoh untuk memberi jawapan.

 Pada pertemuan berikutnya mereka akan berbincang tentang segala syarat berkaitan masa kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan sekiranya pinangan diterima. Pihak lelaki akan menghantar tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan yang ditakrifkan sebagai “putus cakap”, jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Ini membawa maksud pihak perempuan telah menerima pinangan dan syarat-syarat perkahwinan dari pihak lelaki. Masyarakat Melayu berpegang teguh dengan adat resam kerananya dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Kini, adat meminang masih diwarisi dalam kalangan masyarakat Melayu Perlis. 


Image result for meminangImage result for meminang


c) Menerima dan menolak unsur tertentu

Pernolakan atau penentangan terhadap perubahan asalnya didorong oleh sikap masyarakat yang ingin mempertahankan dan mengekalkan nilai-nilai dan cara hidup lama yang sedia ada. Ada juga penolakan berlaku disebabkan unsur yang masuk tidak sesuai dengan masyarakat berkenaan. Penerimaan terhadap unsur baharu pula berlaku kerana anggota masyarakat bersedia utuk memasukkan idea-idea baharu yang membawa kebaikan kepada masyarakatnya. Perubahan ini diterima dengan syarat tidak bercanggah dengan kepercayaan dan nilai yang dipegang oleh masyarakat berkenaan, terutamanya perkara yang berkaitan dengan agama. 

d)Kesinambungan

Kebudayaan mengalami proses kesinambungan. Proses kesinambungan berlaku sama ada dalam bentuk seni bina, peralatan, dan budaya bukan material seperti kepercayaan, nilai, dan adat resam. Misalnya, budaya seni bina yang dahulunya dalam bentuk sederhaan mengalami proses kesinambungan yang berterusan sehingga melahirkan daya kreativiti masyarakat untuk mencipta berbagai-bagai bentuk seni bina rumah pada hari ini. 

Senibina rumah Melayu dapat dilihat dengan menggunakan teknologi binaan yang ringkas dan mudah menggunakan bahan-bahan dari alam semula jadi seperti daun nipah, ijuk, dan bertam untuk atap atau bumbung. Kayu digunakan untuk stuktur utama seperti tiang, alang , rasuk, lantai dan dinding. Lapik tiang pula diperbuat daripada batu. Pembinaan rumah Melayu yang agak tinggi memberikan satu ruang di bawah rumah. Kedudukan lantai yang tinggi dapat mengatasi kelembapan tanah disamping mencegah ruang ditenggelami air jika berlaku banjir. Ruang bawah atau kolong yang terbuka juga membolehkan peredaran udara dibawa lantai. (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh, 1997)

Selain rumah kediaman, senibina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf dan senibina makan atau pusara. Ciri-ciri senibina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masijid Tengkera di Melaka dan sebagainya. Senibina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberi nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan identiti bangsa.





Rumusan

Kesimpulannya, budaya merupakan warisan sosial manusia yang amat penting bagi generasi manusia merentasi langkauan masa mahupun batasan geografi. Budaya meletakkan manusia pada suatu tahap yang tinggi dan kewujudnya dapat membezakan antara tahap pencapaian sesuatu rumpun
bangsa dengan rumpun bangsa yang lain. Kebudayaan dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Kebiasaannya, kebudayaan bagi sesebuah kelompok masyarakat berbeza-beza mengikut persekitaran yang melingkunginya. Budaya penting untuk memberikan kefahaman tentang amalan-amalan yang sedia ada dalam kelompok masyarakat terutamanya kepada generasi muda. Pelbagai adat dan budaya Islam perlu dihayati oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak seperti meletakkan nama yang baik kepada anak mereka, mengadakan akikah, menyusukan anak sehingga berumur dua tahun dan mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang beriman, berakhlak mulia, dan menghormati orang tua.


Di Malaysia, kebudayaan berperanan penting dalam proses pembangunan negara, iaitu keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah merangsang pembangunan hidup masyarakat. Hal ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan. Sebagai rakyat Malasysia, saya berasa bertuah dilahirkan di negara yang mempunyai kepelbagaian kaum. Rakyat Malaysia terdidik dengan nilai-nilai murni, iaitu penerimaan dengan menghormati perbezaan kebudayaan kaum masing-masing. Dasar Kebudayaan Kebangsaan amat diperlukan bagi negara Malaysia yang sedang berkembang pesat dan mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu. Oleh itu, budaya akan mendatang kepuasan dan merangsang pembangunan hidup masyarakat. Kebudayaan yang dipupuk akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.

Image result for perpaduan rakyat malaysia



Rujukan

Malek, M. R. A. (1998). Kesan sejarah dan tempat-tempat menarik. Petaling Jaya: Oscar Book International.
Mohamad, K., Ismail, G., Othman, W. Z. W., & Shahidin, R. L. (2014). Kebudayaan Melayu. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Zakaria, S. Z., & Ahmad, P. (2011). Melaka bandar raya bersejarah: tapak warisan dunia. Cheras: Penerbitan Afdal.

Sila klik link ini untuk mendapatkan informasi ekstra~

Comments

Popular posts from this blog

↢KEBUDAYAAN MELAYU DALAM BAHAN SASTERA DAN BAHAN BUKAN SASTERA↣ PROSA TRADISIONAL MELAYU 🔺Prosa tradisional merupakan satu daripada elemen kebudayaan melayu dalam bentuk bahan sastera dan bahan bukan sastera. Prosa ini merujuk kepada maksud kolektif milik bersama dan kebanyakan hasilnya tidak dinamakan kepada pemiliknya kerana merupakan milik masyarakat sejak zaman ke zaman. Maka, sukar untuk mengetahui identiti penulis bagi setiap jenis prosa tradisional yang ada dalam masyarakat. Perkara yang jelas lagi adalah kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai bentuk dan ciri yang berbeza daripada kesusasteraan moden. Bentuk dan ciri ini merangkumi makna struktur, plot, gaya, dan teknik serta konvensi lain sastera yang dicirikan oleh bahasa, persembahan, fungsi, dan faktor-faktor luaran lain (Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad, 1993). Prosa tradisional ini terbahagi kepada dua iaitu, naratif dan bukan naratif. Naratif bermaksud cerita yang disampaikan kepada masyarakat secara l

Pengaruh Luar Dalam Masyarakat Melayu

Hai Assalamualaikum... Topik kali ini saya akan menceritakan tentang Pengaruh Luar Dalam Masyarakat Melayu... Semoga bermanfaat! 😘🤗💕 Pengenalan Melayu di Malaysia banyak menerima pengaruh iaitu pengaruh dari segi corak berpakaian, pemakanan,cara bercakap,politik dan agama. Semua pengaruh itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu sekali gus menjejaskan nilai-nilai sejagat masyarakat Melayu.Setiap masyarakat peribumi dari zaman batu sehingga kini, memiliki nilai dan peradaban yang tersendiri mengikut keunikan masing-masing .Setiap masyarakat percaya bahawa setiap cara dan kaedah yang dilakukan mempunyai ritual dan kepercayaan yang bergantung kepada anutan dan kepercayaan masing-masing.Masyarakat pada zaman sekarang sudah berubah untuk memajukan diri mereka dan meninggalkan amalan-amalan yang menyebabkan mereka ketinggalan zaman.Namun begitu,masih juga terdapat pengaruh-pengaruh luar yang masi